Followers

Sunday, January 3, 2010

Habib Bourguiba


“Kenapa dia berkata begitu? Dia tak faham al-Quran dan Sunnah ke?” seorang hadirin ceramah mengkritik.

“Apa dia tidak baca sirah? Buta sejarah?” tambah seorang lagi.

Semua naik angin.

Marah dengan Habib Bourguiba.

Beliau adalah Presiden Tunisia yang pertama, memerintah dari tahun 1957 hingga 1987. Bourguiba selalu disinonimkan dengan Mustafa Kemal Ataturk kerana keghairahannya kepada pembaratan yang disamakan dengan pemodenan.


Isunya ialah pada tahun 1961. Habib Bourguiba telah mengeluarkan arahan tidak membenarkan penjawat awam di negaranya, Tunisia, berpuasa di bulan Ramadhan. Bagi menegaskan arahan itu, beliau dan anggota kabinetnya telah muncul secara langsung di kaca televisyen pada tengah hari bulan Ramadhan dan mereka makan beramai-ramai.

Alasan Habib Bourguiba senang sahaja, berpuasa mengurangkan produktiviti negara!

SINIS AGAMA

Pandangan Habib Bourguiba itu, jika mahu dikategorikan, ia termasuk di dalam apa yang dinamakan sebagai Religious Skepticism.

Pemikiran skeptik atau sinis terhadap agama ini berperingkat.

Ada sinis yang merujuk kepada beberapa aspek di dalam ajaran agama. Seseorang itu mungkin sinis dengan hukum membasuh jilatan anjing dengan tanah. Atau hukum menutup aurat. Mungkin juga soal harta pusaka yang dibahagikan dua bahagian kepada pewaris yang lelaki dan satu bahagian kepada pewaris yang perempuan.

Ada juga pemikiran skeptik, ditujukan kepada institusi agama. Misalnya, anti ‘orang masjid’, mungkin juga kepada pihak berkuasa agama seperti JAWI, JAIS, JAKIM dan lain-lain. Tidak lupa dengan alergi mereka kepada parti politik Islam, atau badan-badan yang menjadikan Islam sebagai identiti organisasi mereka.

Peringkat ketiga pula, ialah pemikiran skeptik terhadap keseluruhan ajaran agama. Mereka tidak semestinya anti Tuhan atau atheist namun mereka sinis terhadap semua agama yang dianggap sebagai doktrin yang penuh kecurigaan.

Walau apa pun bentuk Religious Skepticism yang muncul, kesemuanya adalah tindak balas (response). Apabila diertikan sebagai tindak balas, tentu ada sesuatu yang berlaku sebagai reaksi kepada kejadian tersebut. Ia bukan asal, tetapi ia adalah tindak balas kepada sesuatu yang telah mengambil tempat terlebih dahulu.

YASMIN AHMAD DALAM KENANGAN





Terkini, ASTRO mendedikasikan saluran 110 sebagai tribute kepada Allahyarham Yasmin Ahmad dengan menyiarkan koleksi filem terbitan atau arahan beliau seperti Sepet dan Gubra.

Jika kita menonton dengan teliti sebarisan filemnya bermula daripada Rabun, kepada Sepet, Gubra, Mukhsin, Muallaf dan terkini Talentime, ada sesuatu yang konsisten di dalam semua sentuhan karya Yasmin Ahmad. Selain sentuhan kreatif yang unik, filem-filem Yasmin Ahmad konsisten dengan tema atau elemen Religious Skepticism. Penonjolan babak imam yang mesra dengan jiran-jirannya yang pelacur di dalam filem Gubra, hubungan cinta antara seorang gadis Melayu dengan anak muda Cina, malah anjing yang dibelai mesra oleh bilal masjid, semua itu adalah simbol dalam menterjemahkan apa yang dinamakan sebagai pemikiran skeptik terhadap agama.

Oleh kerana Religious Skepticism semakin berleluasa mendominasi pemikiran masyarakat khususnya di dalam kelompok urban, maka hasil karya Yasmin Ahmad semacam menjadi jurucakap untuk meluahkan pandangan ini yang sejak sekian lama tidak mudah untuk diketengahkan ke perhatian massa. Yasmin Ahmad menerima penghormatan dan pengiktirafan yang sungguh luar biasa.

Jika kita bersetuju bahawa Religious Skepticism itu ialah satu bentuk tindak balas, maka datang soalan kedua; pemikiran Religious Skepticism yang ada pada Yasmin Ahmad datangnya sebagai tindak balas kepada apa? Apakah pengalaman yang telah ditempuh oleh graduan Ijazah Psikologi daripada England ini?

Saya tidak mempunyai sebarang penjelasan kerana saya tidak mengenali beliau secara peribadi. Namun mungkin beliau menempuh episod hidup yang penuh dengan peristiwa berbentuk penilaian, hukuman, malah mungkin sindiran dan cemuhan yang menggalakkanskepticism itu semakin meruncing.

Jika kita tidak berpuas hati dengan mesej-mesej Yasmin Ahmad, mari berjiwa besar untuk berani menyoal diri. Adakah Religious Skepticism itu bulat-bulat ditujukan ke atas beliau, atau ada sesuatu yang mendominasi kecenderungan masyarakat kita hingga menggalakkan pemikiran seperti itu? Sebahagian jari yang menunding, mungkin perlu balik kepada diri.

SISTERS IN ISLAM

Zainah Anwar, teraju utama Sisters in Islam

Satu lagi topik yang berkait rapat dengan Religious Skepticism ialah sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai Sisters in Islam SIS). Pertubuhan ini mempunyai peranan yang signifikan dalam memperjuangan beberapa aspek bersangkutan hal kebajikan kaum wanita Muslim dan ia tidak boleh dinafikan. Kelancaran proses mahkamah yang mesti diperkemaskan agar wanita Muslim tidak menderita digantung tidak bertali, adalah di antara subjek yang banyak disentuh oleh sukarelawan SIS yang amat komited.

Namun, ada sesuatu yang juga konsisten dalam pemikiran dan ucapan tokoh-tokoh utamanya. Elemen yang saya maksudkan itu ialah Religious Skepticism. Keketaraannya lebih terasa dalam aspek sinis mereka kepada institusi agama yang dilihat tidak bertindak wajar dalam hal kesamarataan, keadilan, kebebasan dan kemuliaan kaum wanita Muslim di negara kita.

Mendesak agar al-Quran ditafsir semula, bukanlah suatu isu baru. Tetapi mendesaknya dengan alasan ahli-ahli Tafsir dahulu semuanya lelaki, lalu hukum yang keluar bersifat male chauvanist, adalah suatu manifestasi kepada Religious Skepticism. Rramai sukarelawan yang terbabit di dalam gerakan-gerakan pembelaan wanita seperti Sisters in Islam, membawa mesej yang boleh digunapakai untuk memperbaiki banyak aspek perlaksanaan Islam, tetapi mencetus banyak kontroversi kerana ia diperjuangkan secara sinis atau skeptik.

Sedikit sebanyak pemikiran yang bersarang dengan prejudis kepada lelaki dan institusi agama ini mungkin berpunca daripada pengalaman diri sukarelawan tersebut berkaitan dengan lelaki.

Menyaksikan bapa mendera ibu yang diperhambakan dalam sebuah perkahwinan.

Melihat penindasan yang berlaku ke atas janda yang tergantung hidup oleh suami yang enggan mentalakkannya, tetapi terus menerus mendera emosi dan mungkin fizikal isteri.

Menjadi mangsa kejahatan lelaki.

Atau terus menerus dihentam golongan yang tidak bersetuju, kebetulannya mereka itu adalah ustaz, mufti, ulama, yang semuanya adalah lelaki.

Religious Skepticism adalah reaksi.

Ada sesuatu yang berlaku sebelum pemikiran skeptik itu menguasai.

Jika kita tidak berpuas hati dengan mesej-mesej Sisters in Islam, mari berjiwa besar untuk berani menyoal diri. Adakah Religious Skepticism itu bulat-bulat dibebankan ke atas mereka, atau ada sesuatu yang mendominasi kecenderungan masyarakat kita hingga menggalakkan pemikiran seperti itu? Sebahagian jari yang menunding, mungkin perlu balik kepada diri.

Sesuatu yang perlu difikirkan.

BENJAMIN STEPHEN



Anak muda ini adalah bekas pelajar sebuah sekolah agama terkemuka di negeri Perak.

Bukan sedikit ilmu agamanya.

Tetapi hari ini, anak Perak yang dahulunya dikenali sebagai Badrul Hisyam, telah murtad dan menjadi pendakyah Kristian.

Apabila saya mendengar ceramah-ceramah yang beliau sampaikan di gereja dan di khalayak Kristian, saya mengesan sesuatu yang amat konsisten di dalam ceramah beliau. Ceramahnya tidak ilmiah dan tidak membantu Kristian memahami Bible. Sebaliknya, hampir keseluruhan ceramah beliau berbahasa skeptik dan sentiasa sinis serta menyindir serba serbi yang berkaitan dengan Islam dan Muslim. Malah ibu bapanya sendiri turut disindir dan diejek.

Tatkala bertanyakan kepada pelajar-pelajar sekolah beliau yang mengenalinya, anak muda ini yang berpewatakan lembut di sekolah sering diejek, dikutuk atau dalam bahasa rasminya dibuli, di sepanjang pengalamannya di sekolah. Pengalaman seperti ini sangat berpotensi untuk membentuk satu pola pemikiran memberontak yang luar biasa.

Akhirnya Badrul Hisyam dengan sinis dan skeptik beliau terhadap semua yang dialaminya tentang Islam dan Muslim, beliau murtad. Sesuatu yang mungkin tidak disangka oleh senior yang pernah membulinya!

Semasa mendengar ceramah beliau, saya terfikir, adakah Benjamin Stephen ini mengkritik Islam, atau mengkritik Sekolah Menengah Agamanya?

Jika kita tidak berpuas hati dengan mesej-mesej Benjamin Stephen, mari berjiwa besar untuk berani menyoal diri. Adakah Religious Skepticism yang luar biasa itu ditujukan segala-galanya ke atas beliau, atau ada sesuatu yang mendominasi kecenderungan masyarakat kita hingga menggalakkan pemikiran seperti itu? Sebahagian jari yang menunding, mungkin perlu balik kepada diri.

KASSIM AHMAD





Tidak dilupakan, tatkala saya membaca buku mutakhir Kassim Ahmad bertajuk MENCARI JALAN PULANG, saya melihat adanya unsur yang sama di sebalik pemikiran beliau. Sama ada ia berkaitan dengan Parti Sosialis pimpinannya, atau pun pemikiran yang dilabel sebagai anti Hadith.

Kassim Ahmad tidak sama sekali menafikan kenabian Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Tetapi beliau mengkritik sistem ilmu Hadith khususnya berkaitan dengan kredibiliti perawinya.

Di manakah kritikan itu bermula?

Berasal daripada kekecewaan Kassim Ahmad terhadap pemikiran dan sikap orang-orang agama yang ditemui di usia mudanya, ia berkembang kepada mempertikaikan institusi Ulama’ dan seterusnya hingga kepada pada perawi yang kesahihan Hadith banyak bergantung kepada kredibiliti perawi-perawi ini.

Ya.

Religious Skepticism yang ringan-ringan boleh berkembang menjadi satu pola pemikiran yang amat rumit dan membingungkan.

Jika kita tidak berpuas hati dengan mesej-mesej Kassim Ahmad, mari berjiwa besar untuk berani menyoal diri. Adakah Religious Skepticism itu bulat-bulat ditujukan ke atas beliau, atau ada sesuatu yang mendominasi kecenderungan masyarakat kita hingga menggalakkan pemikiran seperti itu? Sebahagian jari yang menunding, mungkin perlu balik kepada diri.

PUNCA PEMIKIRAN SKEPTIK TERHADAP AGAMA

Tidak dinafikan, manusia akan membentuk set of values mereka hasil pengalaman hidup dan pendedahan yang dialami. Kesan daripada pelbagai kejadian yang ditempuh oleh setiap kita dalam kehidupan, banyak mempengaruhi pertimbangan kita dalam menilai apa yang baik dan apa yang buruk.

Oleh kerana itu, Islam datang untuk meluruskan nilai ini agar manusia tidak terhoyong hayang di sepanjang tempat dan zaman dalam menentukan apa yang baik serta apa yang buruk tentang hidup ini semata-mata berbekalkan pengalaman diri. Jalan yang lurus (Sirat Mustaqim), diungkapkan berkali-kali dalam sehari semasa kita bersolat kerana jalan yang lurus itulah penentu kepada kedudukan masing-masing. Sejauh mana kita selari dengannya, atau sudah sejauh manakah kita terpesong dari landasan asal.

Namun, manusia akan mengalami krisis terhadap agama apabila mereka berdepan dengan suasana realiti yang terlalu jauh daripada apa yang dilakarkan oleh idea dan nas. Penghormatan adalah sesuatu yang terhasil daripada kualiti. Tatkala pendukung agama yang mewakili suara agama mengalami kemerosotan kualiti, rasa hormat itu mula terhakis. Tatkala hakisan itu berlaku, agamawan dan institusi agama terus kekal dengan grandiose attitudeyang menambahkan rasa meluat serta benci kelompok yang tidak gentar dengan mereka.

Sebagaimana gereja hilang tempat daripada masyarakat akibat grandiose attitude itu, ia juga sedikit demi sedikit menimpa umat Islam. Rasa jelek dan meluat sekelompok masyarakat melihat sesetengah agamawan yang sombong dalam mempertahankan hujah-hujah ‘tidak masuk akal’ mereka, menambahkan kerumitan kepada berleluasanya pemikiran skeptik terhadap agama ini.


Misalnya, temuramah Gala TV di Astro 110 bersama Yasmin Ahmad, mendatangkan contoh yang boleh diberi perhatian.

Ketika filem Gubra dikritik kerana adegan bilal masjid menyentuh anjing, Yasmin Ahmad menegaskan bahawa sesuatu yang amat menghairankan apabila orang-orang agama ini yang kelihatannya berpelajaran tinggi di satu sudut, hakikatnya mereka tidak arif tentang ilmu Biologi (yang sepatutnya dikuasai oleh umat Islam atas galakan agama kita sendiri, kata beliau).

“Anjing itu kalau najis pun, menyentuhnya tidak haram!” kata Yasmin.

“Orang agama tidak faham Biologi. Jika mereka faham Biologi, mereka akan tahu bahawa anjing merembeskan peluhnya melalui lidah dan hidung…” tegas beliau lagi.

Saya tidak dapat mengesan apakah yang cuba dimaksudkan oleh Yasmin dengan kenyataan itu.

Tetapi beliau mungkin terkesan dengan hukuman-hukuman yang dikenakan ke atas dirinya oleh ustaz-ustaz atau tokoh agama yang ‘tidak faham Biologi’. Sifat menghukum, dan kejahilan terhadap ilmu sokongan seperti Biologi, menjadikan manusia semakin skeptik terhadap agama. Suatu kemalangan.

Namun, andaikata Yasmin Ahmad mengkaji lagi, beliau mungkin akan memperbaiki pandangannya tentang hal ini. Soal anjing merembeskan peluh daripada lidah itulah sebenarnya asas hukuman samak jilatan anjing yang terdapat di dalam Mazhab Syafie. Oleh kerana anjing sentiasa merembeskan peluh dari lidah, maka kebarangkalian najis untuk berada di lidahnya amat kecil. Justeru, jika lidah yang ‘bersih’ itu pun bekas jilatannya perlu disamak, maka lebih utamalah untuk sentuhan bahagian-bahagian lain pada seekor anjing disamak. Malah, anjing yang tidak disebut sebagai najis di dalam al-Quran itu pun, persentuhannya perlu disamak, maka babi yang diisytiharkan najis oleh al-Quran itu, lebih utamalah untuk ia disamak.

Dalam kes ini, Religious Skepticism mungkin terhasil daripada kombinasi agamawan yang tidak faham Biologi dan pengarah filem yang tidak habis mengkaji agama.

Pandangan skeptik terhadap agama banyak didorong oleh kegagalan agamawan mempertahankan hujah agama dalam bentuk yang seiring dengan pemikiran massa yang berubah dari satu ketika ke satu ketika.. Hujah yang tidak berhasil menimbulkan keyakinan, atau menolak terus proses hujah menghujah dan menggunakan kuasa untuk menundukkan soalan atau kritikan (budaya membunuh soalan), menyuburkan lagi pemikiran skeptik orang ramai terhadap agama. Gereja sudah berpengalaman dalam krisis ini, mudah-mudahan kita Umat Islam mempelajari sesuatu mengenainya.

Apatah lagi, ada agamawan terbabit dalam salah laku yang bertentangan dengan imej yang sepatutnya dipertahankan. Perbuatan mendera isteri oleh ustaz atau oleh bukan ustaz tetapi atas nama agama, memutarbelikan hujah untuk memenangkan diri (misalnya berkata, Allah melaknat isteri yang menolak kehendak suami, tetapi tiada hadith yang menyebut Allah melaknat suami yang menolak kehendak isteri!), pecah amanah, pengotor pada pakaian dan penampilan diri, menerukkan lagi penyebaran gejala Religious Skepticism ini..

Dalam masa yang sama, pendekatan menghukum dan menghukum terus menerus digunakan semasa kredibiliti agamawan atau institusi agamawan berada di dalam krisis.

Sesungguhnya gejala ini boleh diperbaiki jika pendakwah dan agamawan mampu untuk mengusahakan beberapa perubahan. Sikap menyindir, menghukum, menyerang, tanpa kesimbangan dialog, diskusi dan lain-lain bentuk engagement, tidak banyak membantu.

PENDAKWAH MAMPU MENGUSAHAKAN PERUBAHAN

Jika perubahan itu mesti bermula daripada diri, maka usahakanlah perubahan pada diri kita, selaku pendakwah untuk lebih bertenang dan teliti dalam menghalusi dakyah-dakyah pemikiran skeptik terhadap agama ini. Andai mereka tidak mahu berubah, lancang mengkritik tetapi kurang mahu mengkaji dan mendalami secara adil, itu terserah kepada mereka.Religious Skepticism ialah penyakit. Lalu penganutnya harus dilihat sebagai orang sakit.

Bagi pendakwah yang yakin akan kesihatan pemikiran dan kepercayaannya, merekalah yang selayaknya untuk mengusahakan perubahan. Kita ubah cara kita memberikan penyelesaian, cara kita menguruskan cabaran, kerana kita mampu berbuat demikian.. Jangan terlalu gelojoh menyerang, menentang, menghukum, ketika kita sendiri bukanlah saingan yang dihormati lawan (jika boleh disebut demikian).

Pendakwah yang hebat mampu mengakui kelemahan dan memperbaikinya. Andai golongan yang skeptik terhadap agama mahu terus ego dalam mempertahankan pandangan mereka, itu urusan mereka. Namun Islam yang dijulang pendakwah, menjadikan kita bersedia untuk mengambil sebahagian tanggungjawab memperbaiki keadaan. Memperbaiki cara kita berdakwah, mempunyai banyak faedah yang boleh meredakan penyakit minda ini.

SISI LAIN PANDANGAN HABIB BOURGUIBA

Berbalik kepada persoalan Habib Bourguiba, harus kita perhatikan sedikit.

Memang al-Quran berkata sebaliknya, Sunnah juga menegaskan sebaliknya. Malah Sejarah juga membuktikan sebaliknya. Namun Habib Bourguiba mungkin tidak memandang itu semua. Apa yang dijadikan asas pandangannya ialah pada apa yang ada di depan mata.

Benarkah umat Islam lebih produktif di bulan Ramadhan?

Tinggalkan Tunisia dan mari lihat keadaan kita di Malaysia.

Pada bulan Ramadhan, kita tidak boleh bermesyuarat dengan baik. Semua orang kebingungan dan lesu tanpa mampu memberikan idea yang bernas. Jika ada projek besar yang mahu dibuat, semua meminta agar ia dibincangkan selepas Raya! Malah jika di bulan-bulan lain kita habis kerja jam 5 petang, di bulan Ramadhan kita tinggalkan pejabat jam 4 petang. Semuanya gara-gara Bazar Ramadhan!

Maka, tidakkah itu semua bukti bahawa kita tidak produktif di bulan Ramadhan?

Silapnya pada Habib Bourghuiba ialah kerana beliau menyalahkan puasa sebagai puncanya, dan bukan manusia.

PELIK

Jika anda ternampak sebuah kereta Mercedez ‘mata belalang’ tersadai di tepi jalan kerana terlanggar tiang lampu, apakah anda akan menyalahkan Mercedez?

“Bodoh betullah syarikat Mercedez ini. Bagaimana mereka boleh buat kereta yang langgar tiang lampu!” kritik seorang yang bermazhab Habib Bourguiba.

Mustahil.

Tiada siapa yang akan menyalahkan Mercedez.

Semua orang akan menyalahkan pemandu Mercedez itu.

“Macam manalah dia memandu. Sudah diberi Mercedez pun, masih terbabas melanggar tiang lampu!” kata-kata yang lebih lurus dengan kebenaran.

Silapnya Habib Bourguiba ialah, dia itu menyalahkan puasa dan Ramadhan sebagai punca rakyatnya tidak produktif. Suatu peringkat Religious Skepticism yang kritikal.

Justeru, jika kita tidak bersetuju dengan polisi Habib Bourguiba, maka buktikanlah dengan perbuatan. Buktikan Ramadhan ini, anda produktif, dinamik, aktif bekerja, dan tidak terjejas untuk buat apa sahaja, termasuk mungkin turun berkempen di Permatang Pasir!

Tetapi, jika kita bermati-matian memaki hamun Habib Bourguiba kerana tidak bersetuju dengannya, tetapi kita tidak bermaya, tidak produktif atau gagal untuk kekal normal di bulan Ramadhan, maka segala ayat al-Quran dan al-Hadith yang digunakan, serta fakta Sejarah yang dibentang, menjadi retorik serta menyuburkan lagi Religious Skepticism!

Anda mampu mengubahnya!




ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Tahun Baru? adakah sambutan ini diredhai?


Menjelang detik 12 tengah malam 31 Disember saban tahun, seluruh dunia gegak gempita dengan sorakan, jeritan, permainan dan pertunjukan yang rata-ratanya bernafaskan hiburan. Rakyat Malaysia juga, tidak kira Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun, Bajau, Iban, Islam dan bukan Islam, semuanya tidak terkecuali. Seronok bukan kepalang! Yang lebih seronok adalah disebabkan acara-acara yang dijalankan bagaikan mendapat restu pemerintah. Berhiburlah sejak bermula malam 31 Disember hingga awal pagi 1 Januari. Jelajahilah bandar-bandar besar mahupun kecil di Malaysia ini. Melalaklah dalam kumpulan khemah unggun api di tepi pantai berpasir gebu. Berpeleseranlah di kompleks-kompleks membeli-belah dan taman-taman tasik. Bercampur gaullah lelaki dan perempuan dalam keasyikan tahun baharu bagaikan saranan-saranan agama tidak pernah diperdengarkan ke telinga.

Kita baru sahaja menyambut tahun baharu hijrah dua minggu lalu. Ya, tidak sampai sebulan pun lagi. Sambutannya serba sederhana. Yang menyambutnya juga kelompok tertentu, yang gemar ke masjid, gemarkan majlis-majlis ilmu. Kini, 2009 akan pergi dan 2010 bakal bertamu. Poses pertukarannya memang lumrah, sunnatullah. Tetapi kenapa sambutan ke atasnya juga mahu dilumrahkan?

Perkara serupa berlaku setiap tahun. Dan setiap kali itu ada sahaja budaya baharu yang diperkenalkan. Tidak usah disebut konsert itu dan ini, joget sana dan sini. Rasa malu sudah semakin terhakis daripada jiwa umat Islam. Tahun-tahun kebelakangan ini, dibudayakan pula acara mandi buih lelaki dan perempuan. Yang ini juga dicedok dari barat. Lihatlah pula apa yang dibawa tahun ini.

Aduh, sedihnya! Lebih menyedihkan apabila ibu segala maksiat iaitu meminum arak selain perzinaan menjadi perkara biasa. Tunggulah pagi 1 Januari ketika pekerja-pekerja pihak berkuasa tempatan melakukan pembersihan. Tin-tin minuman keras bersepahan. Di Dataran Merdeka dan KLCC, dilaporkan petugas-petugas Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur sering terjumpa kondom yang sudah digunakan, tin serta botol-botol minuman keras di merata-rata tempat. Bahkan turut dilaporkan pada sebelah paginya ramai yang tidur seperti golongan yang tiada tempat tinggal atau 'homeless' sementara menunggu bas untuk pulang ke destinasi masing-masing selepas penat berpesta pada sebelah malamnya. Tidakkah ini menggambarkan kebejatan akhlak umat?

Pihak-pihak yang prihatin tentang masalah gejala sosial sudah 'berbuih mulut' meminta dihentikan pesta-pestaan yang melampau ini. Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub pernah menyarankan, sambutan tahun baru yang berorientasikan hiburan seperti menunggu detik 12 malam sepatutnya dibatalkan kerana mencetuskan permasalahan sosial, membuang masa dan wang.

Selain itu, kekerapan musibah seperti bencana alam, pertambahan dan peningkatan masalah sosial dan jenayah adalah rentetan tindakan sebilangan rakyat yang sering melakukan pelanggaran agama dan nilai-nilai moral, katanya.

Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan seperti Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan urusetia Latihan Dakwah Lapangan (LANDAS) giat melaksanakan usaha dakwah ala 'taskforce' yang disasarkan kepada golongan remaja di sekitar bandar-bandar tertentu. Para petugas menemui dan menyantuni remaja-remaja ini dengan cara santai sambil menuturkan nasihat dan mengedarkan risalah. Tujuannya adalah supaya anak-anak muda ini sedar bahawa hidup ini punya matlamat agama dan berpeleseran tidak tentu fasal itu salah. Mereka mungkin terpengaruh, bahkan mungkin juga jahil dan tidak pernah diajar batas-batas pergaulan menurut Islam.

Kita yakin banyak lagi golongan yang melakukan kerja murni ini sebagai menyahut seruan Allah yang bermaksud, "Dan hendaklah ada dalam kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, dan mereka itulah orang-orang yang berjaya."

Mudah-mudahan bantuan Allah sentiasa hampir kepada pendakwah-pendakwah yang tabah ini. Bukan sedikit risiko yang terpaksa mereka hadapi sewaktu berdakwah di alam realiti. Mereka mungkin sahaja diejek, di'boo', diusik bahkan diugut oleh kumpulan gangster, tapi kita berdoa mudah-mudahan tiada perkara buruk yang berlaku kerana Allah bersama orang-orang yang benar.

Akhirnya kita berdoa semoga acara-acara tidak berfaedah dan penuh maksiat cepat-cepat dijauhkan daripada kamus hidup rakyat Malaysia menjelang tahun baharu Masihi bagi tahun-tahun mendatang. Sebenarnya kalau ia tidak disambut langsung pun, tahun baharu itu tetap juga datang dengan izin Allah.

Penggunaan nama Allah

Pendirian MAIM berkenaan Isu Penggunaan Kalimah Allah oleh Agama Lain

MAIM menyedari:

1. Akhbar The Herald Catholic Weekly versi Bahasa Malaysia telah menggunakan perkataan “Allah” sebagai terjemahan kepada perkataan “God”;

2. Wujud Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-agama Bukan Islam, suatu undang-undang yang digubal di bawah Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan di sepuluh (10) buah negeri, yang terkandung larangan menggunakan kalimah “Allah” oleh agama lain;

3. Enakmen ini belum digubal bagi Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak;

4. Wujud arahan eksekutif melarang The Herald Catholic Weekly menggunakan kalimah “Allah”;


5. Isu ini telah dirujuk kepada mahkamah; dan

6. Perkataan “Allah” digunakan di dalam kitab orang Sikh, Granth Sahib.

MAIM juga menyedari:

1. Wujud usaha di pihak kerajaan untuk menggubal satu undang-undang persekutuan mengenai perkara-perkara seperti yang disentuh di dalam Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-agama Bukan Islam;

2. Wujud usaha untuk meminta campur tangan Majlis Raja-Raja; dan

3. Wujud usaha oleh pihak lain untuk mengemukakan lebih banyak isu-isu seperti ini ke mahkamah.

MAIM juga menyedari:

1. Wujud perbezaan pandangan di kalangan umat Islam sama ada penggunaan kalimah “Allah” oleh agama lain dilarang oleh Islam;

2. Penggunaan perkataan “Allah” yang diusahakan oleh pihak agama Catholic hanya dalam keadaan terpilih dan bukan secara menyeluruh menterjemahkan “God” kepada “Allah”; dan

3. Kerajaan Malaysia sebagai pemerintah berkuasa menggubal apa jua undang-undang untuk menjaga kepentingan negara dan rakyatnya.

Oleh itu MAIM berpandangan:

1. Penggunaan perkataan “Allah” oleh agama-agama lain akan menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam, terutamanya para remaja dan belia;

2. Ia juga akan menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam dan boleh menimbulkan sensitiviti jika Allah dikaitkan dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan sifatNya serta bertentangan dengan konsep Tauhid dan aqidah Islam;

3. Adalah wajar bagi kerajaan mengambil sebarang langkah untuk mengelakkan kekeliruan dan keresahan di kalangan umat Islam; dan

4. Umat Islam dan badan-badan Islam perlu mengetepikan perbezaan pandangan tentang sama ada penggunaan kalimah “Allah” dilarang oleh Islam dan bersatu diatas dasar menjaga kepentingan umat (maslahah) serta menjauhi keburukan (mafsadah).

Dengan itu MAIM berpendirian:

1. Menyokong usaha melarang kalimah “Allah” digunakan oleh agama-agama lain.

2. Isu-isu berkaitan dengan Agama Islam dirujuk hanya kepada Mahkamah Syari’ah.

3. Usaha-usaha perlu dibuat untuk mengukuhkan pemahaman Islam umumnya dan aqidah Islam khususnya di kalangan umat Islam.

Pendirian ini dipersetujui di dalam Mesyuarat Khas JK Pusat MAIM pada 13 Mac 2008.

Mesyuarat juga memutuskan untuk mengeluarkan satu kenyataan media dan menggalakkan ahli-ahli MAIM secara sendirian mengeluarkan kenyataan media masing-masing, menyatakan pendirian yang sama.


Muhammad Abdullah Nicholas Sylvester
Pengerusi
JK Dakwah JIM Pusat
Lot 300.3 Lorong Selangor
Pusat Bandar Melawati
53100 Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: +06-03-41089669
Fax: +06-03-4107- 1754

Viva Palestina menghadapi masalah.




Assalamualaikum,

Convoy Viva Palestina ke Gaza kini berhadapan dengan masalah pengangkutan kerana halangan dari Mesir. Convoy yang sepatutnya berlepas dari Aqaba, Jordan dan memasuki pelabuhan Mesir (Semenanjung Sinai) melalui pelabuhan Nuweiba, kini terpaksa berpatah balik melalui Syria. Mesir hanya membenarkan convoy memasuki Mesir dari pelabuhan al-Arish. Oleh kerana pelabuhan ini kecil, convoy terpaksa menggunakan 3 buah ferry di samping terpaksa menggunakan perkhidmatan udara untuk mengangkut sebahagian dari barangan bantuan.

Rakyat Malaysia turut menyumbang kepada convoy ini dengan menyerahkan 9 buah ambulan bersama muatan ubat-ubatan (4 ambulan dari VPM, 2 dari nya dari PACE/JIM dan 5 dari inisiatif Tun Mahathir). Perubahan perjalanan telah menambah beban kos kewangan (kira-kira USD500,000 lagi diperlukan) kepada convoy.

Atas nama persaudaraan Islam dan kemanusiaan sejagat maka PACE menyeru agar ahli-ahli JIM dapat menggerakkan kempen menampung kos tambahan convoy Viva Palestina 3 atas nama persaudaraan Islam dan kemanusiaan sejagat. Penduduk Gaza sedang menderita kekurangan makanan dan ubat-ubatan akibat sekatan ekonomi dan kepungan yang sudah menjangkau 3 tahun. Bantuan yang diusahakan oleh Viva Palestina yang terdiri dari 240 ambulan dan pelbagai kenderaan yang penuh dengan ubat-ubatan dan keperluan asas yang lain sangat penting untuk dijayakan. Jika convoy ini gagal untuk menyampaikan bantuan ini, maka krisis yang dihadapi oleh penduduk Gaza akan semakin mendalam dan mencapai tahap kritikal.

PACE menyarankan agar kempen ini dipacu di peringkat daerah dan negeri. Mohon supaya kempen penerangan berupa sesi ceramah disusun di surau-surau, mesjid, sekolah-sekolah dan pejabat-pejabat. Mohon koordionasi dilakukan melalui PPE (Peg Perhubungan Negeri perhubungan antarabangsa JIM). PACE akan menyediakan bahan-bahan sokongan yang boleh membantu seperti bahan penyampaian (PP) dan bahan-bahan kempen yang lain.

Mohon seruan ini disambut oleh semua. Sila hubungi Sdr Nasir Tampol (Peg Eksekutif) di no. 03-41089669/ 0143110628

Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah
PACE

Hari Raya Aidilfitri adalah isu Aqidah umat Islam.Tiada kompromi

Kenapa Iklan Hari Raya TV3 ditarik semula penerbitannya?

Scene 1 - Budak Lelaki Melayu sedang menilik-nilik sebuah buku bergambar di malam yang gelap dalam sebuah pondok buruk beratapkan rumbia dengan bertemankan sebiji mentol. Terdapat sebuah sangkar burung yang tergantung di sebelah kanan tingkap yang terbuka. 1.Budak Lelaki Melayu - Orang Melayu 2.Buku - Bible 3.Pondok Buruk Beratap Rumbia - Kemiskinan 4.Malam Yang Gelap - Islam yang mundur 5.Mentol Lampu - Pencerahan (Illumination) - Lucifer@Iblis 6.Sangkar Burung - Simbol manusia yang terkurung dan terkongkong dengan ajaran ISLAM7.Tingkap Terbuka - Jalan keluar dari kemiskinan dan kemunduran Scene 2 - Close up sehelai mukasurat yang mempunyai gambar sebuah beca bewarna merah dengan berlatarbelakangkan sebuah pokok Krismas dan North Star (Bintang Utara), menutup sehelai mukasurat lain bertulisan JAWI yang diterbalikkan (inverted). 1.Mukasurat Bergambar - Bible (Christianity) 2.Mukasurat Jawi terbalik - Al-Quran yang dihinakan 3.Beca Merah - Samaran untuk kenderaan Santa Claus 4.North Star - Bintang Kelahiran Horus (Dajjal)Pokok Krismas - Simbol Paganism Scene 3 - Keluarnya bintang-bintang kecil beraura yang membawa cahaya dari gambar beca. Budak Melayu delighted (kagum dan gembira). Bintang-bintang berterbangan keluar dari tingkap rumah buruk lalu membentuk sebuah beca merah berlampu lip-lap dengan seorang lelaki separuh abad yang memakai songkok (bukan ketayap) putih dan berambut putih. Lelaki separuh abad mempelawa budak Melayu untuk bersama-sama menaiki beca merah dan seterusnya meninggalkan pondok buruk. 1.Bintang-bintang kecil beraura - Keajaiban, kekayaan, kemahsyuran, kemodenan etc. 2.Lelaki Rambut Putih Dan Bersongkok Putih - POPE - Ketua Agama Kristian 3.Pelawaan Menaiki Beca - Pelawaan Masuk Kristian Scene 4 - Budak Lelaki Melayu dengan seorang Budak Perempuan Melayu masuk ke dalam beca dan terus duduk bersandar. (Scene ini memaparkan kejayaan memurtadkan (merosakkan) Bangsa Melayu) 1.Budak Lelaki Dan Budak Perempuan Melayu - Bangsa Melayu. Scene 5 - Beca terbang ke Pulau Pinang, Teluk Intan, dan Kuala Lumpur. Tempat-tempat ini bercahaya dan bersinar (illuminated) dengan kehadiran beca merah. 1.Pulau Pinang - Tempat Illuminati mula bertapak (Francis Light). 2.Teluk Intan, Hilir P...erak (Anson) - Ada Illuminati Lodge kat sini. Rotary club pun bersepah. 3.Kuala Lumpur - Malaysian Illuminati punya capital. Scene 6 - Tiba-tiba ada satu pasangan tambahan budak lelaki/perempuan melayu dalam beca. 1.Pasangan Melayu Extra - Murtad dan kerosakan makin berkembang dan mendapat sambutan Scene 7 - Beca berhenti depan unit kondo. Satu pasangan budak Melayu lagi diorang pickup. Budak Melayu Kampung gembira sampai bercahaya-cahaya mukanya. 1. Kondo - Bandar/Middle Class. Budak kampung dah diterima oleh orang bandar. Masuk Kristian adalah cool, urban, modern dsbnya. Scene 8 - Seorang budak perempuan memeluk seorang budak perempuan lain dari belakang. Kepala seorang budak lelaki hanya tersengih di tepi pasangan tersebut. 1.Pasangan Budak Perempuan Berpelukan - Lesbianism/Feminism 2.Kepala Budak Lelaki Tersengih - Lelaki yang tak dipedulikan dan diperbodohkan. Scene 9 - Beca terbang merentasi sebuah pulau. 1.Pulau - Singapore lah. Scene 10 - Beca terbang merentasi awan dan menuju ke sebuah kawasan pergunungan. Kelihatan sebuah masjid di sebelah kiri, budak-budak Melayu tak mempedulikan kewujudan masjid malah lebih tertarik dengan pemandangan di bawah beca terbang. 1.Kawasan Pergunungan (Bukit-bukau) - tempat tinggal Jin 2.Masjid Kecil - Agama Islam yang lemah Scene 11 - Budak-budak Melayu sudah mendarat dan terus berlari sambil menunjuk-nunjuk ke arah Masjid yang terletak jauh disebalik jurang yang dalam sambil ketawa berdekah-dekah. Terdapat dua tangan misteri yang juga sedang menunjuk-nunjuk ke aras masjid. Sebuah bangunan misteri berada di antara masjid dan budak-budak Melayu. 1.Bangunan Misteri - Sebagai cover up (Yang sebenarnya ditunjuk-tunjuk adalah Masjid) 2.Perbuatan Menunjuk Menggunakan Jari Telunjuk - Perlakuan Biadab

KuRma (KuRindui Ramadhan)

Muhammad Mus'ab Muzahar - muspalestina - mustrategy - muscomplicated

Muhammad Mus'ab Muzahar - muspalestina - mustrategy - muscomplicated
"Generasi muda ialah rahsia kehidupan umat dan mata air kebangkitannya.Sejarah umat ialah sejarah para tokoh yang dilahirkannya,yang memiliki AQIDAH yang kuat dan ROH yang membara.Kuat lemahnya umat sesungguhnya diukur dari sejauh mana kemampuan 'rahim' umat itu dapat melahirkan tokoh yang memenuhi syarat rijal yang sebenarnya"

Atheis - Ska - Punk yang lebih 'Palestina'

Video menunjukkan sekumpulan Atheis berfahaman sosial SKA Punk mewakili kaum Yahudi anti Zionis.Umum mengetahui bahawa tidak semua orang Yahudi berfikiran kejam seperti Zionis.Malahan,Fenomena yang berlaku pada tahun 2000-an menunjukkan semakin ramai Rabbi Yahudi lantang mengutuk kekejaman Zionis di palestin. p/s Band diatas tidak mewakili Aqidah umat Islam !! Persamaannya hanyalah pada 'kebencian' mereka terhadap Zionis laknatullah.

{ وَٱلْقَمَرِ إِذَا تَلاَهَا } and [by] the moon when it follows her, rising after she has set(91:2)

muspalestina dan ummah

muspalestina dan ummah
"Bila kau bergelar DAIE kau wajib sedar bahawa jiwamu tidak boleh selamanya REMAJA..Kata AsSyahid Hassan Al- Banna"Tanggungjawab melebihi masa yang ada"..Tarbiyyah yang bersalutkan ILMU dan CABARAN lah yang dapat mendewasakanmu..tetapi cukupkah sekadar menerima tarbiyyah?Sampaikanlah kepada Syabab,sedarlah wahai Fatayat,kalian bukan memulakan perjuangan,tetapi kalian adalah PERMATA -PERMATA yang menyambung perjuangan anbiya'